Namun, perkara itu bukan satu tugas yang mudah lebih lagi keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) memperlihatkan ramai golongan muda ‘menjauhi’ UMNO, tetapi calon Exco Pemuda UMNO, Sheikh Ahmad Nafiq percaya tugas itu mampu dilakukan dengan syarat perubahan perlu dilaksanakan.

Menurutnya, persepsi bahawa ada ‘dinding’ yang menjadi penghalang golongan muda untuk mendekati Pemuda UMNO seolah-olah mereka berada dalam kelas tersendiri perlu diperbetulkan kerana sayap itu tidak pernah mengambil sikap ‘pilih bulu’.

“Saya bukan sahaja mahu berkongsi pengalaman yang ada, tetapi mahu mendengar serta mengutip pengalaman golongan muda untuk disatukan supaya kita dapat melahirkan idea-idea baharu yang segar supaya kita dapat memberi tawaran baharu kepada mereka.

“Tawaran baharu yang bukan syok sendiri, tetapi yang lebih dekat dengan golongan muda, dalam bahasa mudah, tawaran yang mengikut acuan dan menepati cita rasa orang muda,” katanya di sini hari ini.

Sheikh Nafiq yang merupakan Tokoh Belia Negara (Keusahawanan) 2009 berkata, jika dipilih, beliau boleh bekerjasama dengan barisan kepimpinan baharu dan berazam mahu mengajak mereka menjadi pasukan yang kritis berintelektual selain melahirkan pemikiran bugar.

Beliau juga berpendapat, Pemuda UMNO perlu menjadi pembangkang yang akan memberi alternatif penyelesaian terhadap pelbagai isu rakyat selain membawa inspirasi dan harapan kepada generasi muda. - UTUSAN ONLINE