Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, tindakan melempar tohmahan tidak berasas itu tidak benar sama sekali kerana ia bermotifkan politik.

"Saya amat kecewa terdapat pihak tertentu yang menggunakan arena bola sepak sebagai senjata utama dalam politik," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, penyokong bola sepak di Kedah tidak terbatas kepada penyokong UMNO sahaja.

"Saya agak keberatan untuk mengaitkan bola sepak dengan politik kerana penyokong sukan tersebut boleh datang dari pelbagai latar belakang idealogi politik seperti Pas, PPBM, PKR dan DAP," jelasnya.

Beliau berkata, sokongan terhadap pihak terbabit semakin berkurangan kerana berlakunya pergolakan dalaman yang cukup teruk lantas membuatkan mereka berpaling kepada bola sepak untuk meraih sokongan.

"Bola sepak sepatutnya menjadi medium untuk menyatukan rakyat tanpa mengira ideologi politik, agama dan bangsa bukan memecah-belahkan rakyat," jelasnya. - UTUSAN ONLINE