Ketua Penerangannya, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, cadangan supaya tidak meletakkan calon itu bukan bermaksud BN mengangkat bendera putih sebelum berjuang tetapi satu manifestasi untuk tidak melayan keegoaan seorang ahli politik yang rakus mengejar kuasa.

“PRK Parlimen Port Dickson sama sekali berbeza kerana penyandangnya meletak jawatan semata-mata bagi memberi laluan kepada Anwar sedangkan tiga PRK sebelum ini disebabkan wakil rakyatnya meninggal dunia.

“Daripada membuat masa terhadap PRK yang hanya berpusat kepada Anwar dan hanya membazirkan wang rakyat disebabkan permainan politik, lebih baik BN menumpukan perhatian terhadap usaha mengukuhkan parti serta Perhimpunan Agung UMNO yang bakal berlangsung hujung bulan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Syed Mohd. Johan Rizal, lebih baik membiarkan Anwar mendapat kemenangan percuma atau menghadapi pertandingan dengan parti lain dalam PRK Parlimen Port Dickson yang sememangnya bertujuan untuk merealisasikan impiannya untuk menjadi Perdana Menteri.

“Kemenangan atau kekalahan Anwar tidak akan memberi sebarang impak kepada kem pembangkang, jadi biarkan sahaja. Kita selaku pihak pembangkang jangan terlalu fokus terhadap hal ehwal PKR,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE