Sehubungan itu, Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Syed Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, pihaknya menyarankan satu akta diwujudkan bagi membendung tindakan yang sama pada masa depan.

Menurutnya, wakil rakyat yang lompat parti perlu mengosongkan kerusi yang dimenangi.

“Ia ibarat mengkhianati kepercayaan parti apabila wakil rakyat yang menang pada pilihan raya atas tiket BN kemudiannya melompat menjadi wakil rakyat bebas atau menyertai parti lain sehingga parti mengalami defisit kerusi dan gagal membentuk kerajaan di beberapa negeri.

“Walaupun tindakan mahkamah dan menandatangani akuan bersumpah akan dianggap tidak demokratik, tetapi ia adalah satu tindakan tegas yang perlu agar parti tidak dijadikan sebagai tebusan demi kepentingan wakil rakyat berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, langkah itu akan memupuk moral dan etika seorang wakil rakyat bertanggungjawab terhadap rakyat di kawasan yang diwakilinya.

“Ia akan mengurangkan elemen rasuah daripada aktiviti jual beli yang mungkin juga menjadi salah satu punca berlakunya lompat melompat ini,” jelasnya.

Tambahnya, akta tersebut patut digubal memandangkan beberapa negara seperti Singapura, Sierra Leone, Singapore, Zimbabwe, Namibia, Nepal, Nigeria dan Seychelles telah mengamalkan peraturan berkenaan.

Dalam pada itu, Syed Johan Rizal memberitahu, kedudukan sebagai wakil rakyat bukan aset peribadi seseorang tetapi adalah milik dan hak rakyat Malaysia.

“Dengan adanya peruntukan undang-undang sebegitu kerusi wakil rakyat yang melompat parti akan kosong secara automatik dan pilihan raya kecil perlu diadakan,” jelasnya.