Shaiful Hazizy

Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, kekayaan ‘luar biasa’ anak-anak Dr. Mahathir perlu dibongkar kerana mereka sudah lama dilindungi oleh kuasa-kuasa tertentu.

“Kita masih ingat ketika Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO, membuat ucapan dasar dalam Persidangan Pemuda UMNO mendedahkan amalan ‘Nepotisme dan Kronisme’, Dr. Mahathir terus mengaktifkan ‘mod serangan’ dalam uca­pan dasar beliau keesokan harinya.

“Tindakan ini mem­buktikan bahawa beliau sentiasa ingin melin­dungi kemungkinan salah laku korporat anak-anak­nya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Shaiful Hazizy, Pe­ngerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu juga dinasihatkan supaya bersikap berlapang dada dan tidak melatah apabila beberapa syarikat milik anak beliau disiasat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Katanya, beliau yakin dan percaya pihak berkuasa menjalankan tugas dengan telus dan penuh profesional tanpa mengambil kira sentimen tertentu.

“Pemuda UMNO Kedah ingin memperingatkan Dr. Mahathir bahawa pentadbiran dan operasi agensi ataupun badan kerajaan bukannya seperti dahulu iaitu zaman beliau menjadi Perdana Menteri yang mentadbir secara ‘kuku besi’, tetapi kini kita menjalankan proses transformasi untuk lebih profesional dan telus.

“Anak-anak beliau kini tidak lagi berada dalam ‘sangkar emas’. Jadi, kami memohon agar pihak berkuasa terus menjalankan tugasan mereka tanpa ketakutan dan tekanan,” katanya.