Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pengisytiharan darurat itu termaktub dalam Arahan No: 20 Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kata beliau, pihaknya amat dukacita dan terkesan dengan bilangan kes pencemaran sisa toksik yang sudah mencecah 975 orang dan 111 buah sekolah ditutup sehingga notis pemberitahuan kelak.

“Keadaan nampaknya semakin tidak terkawal dan risiko kepada rakyat semakin meningkat. Dalam keadaan kritikal sebegini, usahlah dikira implikasi kewangan yang harus ditanggung oleh kerajaan Persekutuan.

“Keselamatan dan kesejahteraan rakyat di Pasir Gudang harus diberi keutamaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, belum masanya untuk kerajaan mengisytiharkan darurat di Pasir Gudang.

Katanya, kerajaan sedang menilai situasi di kawasan tersebut sebelum boleh mengisytiharkan darurat. - UTUSAN ONLINE