Beliau berkata, kehadiran pihaknya dan kesudian Dewan Pemuda Pas menjemput mereka sememangnya mencipta sejarah tersendiri kerana perkara itu berlaku buat kali pertama setelah kira-kira 40 tahun Pas dan UMNO tidak lagi bersama.

“Bagi saya ini satu pengukuhan kepada blok pembangkang sebenarnya. Memandangkan kita sama-sama pembangkang, kita harus mempunyai keserasian serta persefahaman, dan kita sudah mulakan dengan melaksanakan pendekatan sebegini.

“Kita akan saling menghadiri malah kami sudah hantar surat jemputan rasmi kepada Pemuda Pas ke Perhimpunan Agung UMNO tidak lagi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Muktamar Dewan Pemuda Pas Ke-59 di Duyong Marina & Resort di sini, hari ini.

Asyraf Wajdi dalam pada itu mengucapkan tahniah kepada Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan menyifatkan beliau telah berjaya menyampaikan ucaptama dengan baik, lengkap dan menyeluruh apabila menyentuh pelbagai aspek dan isu semasa.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menafikan UMNO hanya mula berbaik dengan Pas dan mahu menjalinkan kerjasama dengan bekas seterunya itu selepas Barisan Nasional (BN) kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Kami sudah memulakan langkah kerjasama dalam banyak perkara sudah lama, misalnya berkaitan isu Rohingya, Palestin serta sebarang isu-isu umat Islam. Kita sudah banyak bersama dalam satu pentas, kecuali dalam perhimpunan parti seperti hari ini.

“Saya rasa tidak ada salahnya, esok belum kiamat dan kita bina persaudaraan atas dasar Islam itu bermulanya dengan titik pertemuan hari ini. Bukan politik keutamaan kita tetapi persaudaraan Islam dan kepentingan rakyat,” katanya.