Ketua Pemudanya, Noor Azleen Ambros berkata, dalam menuju Malaysia Baharu pastinya rakyat mengharapkan amalan serta sistem demoktasi yang terbuka, telus dan matang akan mewarnai dunia politik tanah air.

Menurutnya, itu adalah ciri demokrasi moden yang rakyat mahukan seperti dizahirkan majoriti dalam pilihan raya umum diadakan pada Mei lalu.

Sebagai pembangkang tambahnya, UMNO perlu berusaha dan beriltizam untuk menjadi bukan sahaja pembangkang yang kuat, malah berwibawa, efektif dan berkesan dalam mengimbangi pengaruh pemerintahan semasa.

“Bagi bersama-sama menyahut seruan itu, saya mencadangkan untuk diadakan debat di antara wakil rakyat Pakatan Harapan bersempena hari gilang-gemilang mereka meraikan 100 hari menjadi kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini sebentar tadi.

Justeru, Noor Azleen mengajak wakil rakyat terutama di kawasan Parlimen Pasir Gudang termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya dan Permas untuk menerima dengan hati terbuka pelawaan Pemuda UMNO Pasir Gudang berdebat secara sihat, intelektual dan terbuka.

“Kita berharap semoga rakyat dapat menerima manfaat daripada penganjuran debat itu,” katanya. - UTUSAN ONLINE