Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir berkata, laporan itu dibuat oleh Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Rembau, Muhammad Ashraf Mohd. Awal di Balai Polis Rantau petang tadi.

Dalam laporan itu, katanya, Barisan Nasional (BN) yang meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau menafikan sebarang kaitan terhadap poster berkenaan.

“Tidak ada sebab untuk BN melakukan provokasi seperti itu memandangkan ia memerlukan sokongan semua kaum dalam PRK ini.

“Sejak ditubuhkan lebih 60 tahun lalu, BN sentiasa peka dengan sensitiviti semua kaum di negara ini dan tidak akan melakukan perbuatan yang boleh menyakitkan hati mana-mana segmen dalam masyarakat,” katanya kepada Utusan Online malam ini.

Berikutan laporan polis itu, Mohd. Zaidy meminta polis menyiasat dalang di sebalik perbuatan itu dan mengambil tindakan tegas sesiapa saja yang terlibat.

Tegasnya, Pemuda UMNO menyokong tindakan tegas pihak berkuasa dalam usaha mewujudkan suasana aman sepanjang kempen PRK tersebut.

“Saya percaya semua parti politik yang terlibat dalam PRK ini mahu kempen merayu undi dilakukan dengan berhemah dan mengelak provokasi di luar tatasusila masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE