Kunjungan hormat 10 anggota sekretariat tersebut yang diketuai oleh Exco Pemuda UMNO, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham itu telah menjalinkan kerjasama di antara kedua-dua parti.

Ikmal Hazlan berkata, rombongan mereka disambut oleh pemimpin muda parti itu, Ihwan Ritonga dan Emil M. Ibrahim yang merupakan calon Gabenor serta Parlimen Sumatera Utara.

Beliau berkata, pada pertemuan tersebut Ihwan yang berusia 35 tahun memuji kemodenan yang dibawa oleh Barisan Nasional (BN) ketika memerintah Malaysia selama 60 tahun.

“Gerindra telah menyatakan komitmen akan tetap meneruskan hubungan yang dicipta ini dan bersedia untuk saling membantu bagi kelangsungan dua-dua parti.

“Malah Ihwan memberikan kata-kata semangat kepada kami supaya kekal istiqamah dan ikhlas dalam perjuangan biarpun tewas dalam pilihan raya seperti mana mereka yang tewas dalam tiga pilihan raya sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Ikmal Hazlan berkata, lawatan itu merupakan visi baharu Pemuda UMNO di bawah kepemimpinan Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang mahukan parti tersebut menjalinkan hubungan yang lebih dengan badan-badan politik antarabangsa.

“Bermula dengan Indonesia dan bakal diteruskan di beberapa buah negara lain termasuk Mesir dan United Kindom.

“Pertemuan dua hala ini dapat memperkukuhkan lagi idealisme politik dan memperkukuhkan lagi institusi Pemuda UMNO di mata dunia,” katanya - UTUSAN ONLINE