Menurut Ketua Puteri UMNO Bahagian itu, Nor Farhana Alham, program yang diselaraskan di bawah Biro Teknologi Maklumat UMNO Selangor itu melibatkan gerak-kerja turun padang mendekati rakyat selain memberi penerangan mengenai isu-isu semasa.

Katanya, usaha itu dilakukan susulan daripada tindakan parti-parti pembangkang ketika ini yang dilihat terus-menerus menyebarkan maklumat yang salah kepada rakyat termasuk melemparkan tohmahan serta fitnah terhadap BN dan kepimpinan negara menerusi media-media sosial.

"Kita percaya rakyat di Selangor khususnya di kawasan Sabak Bernam ini matang dalam membuat penilaian dalam sesuatu perkara. Namun, kita mahu pastikan rakyat benar-benar tidak terkeliru dengan pemainan pihak pembangkang yang sentiasa mahu memberikan gambaran buruk terhadap BN dan kepimpinan negara.

"Kita yakin bahawa rakyat Selangor terutamanya di Sabak Bernam ini yakin dan akan memberikan peluang kepada BN dalam PRU14 nanti," katanya ketika ditemui selepas menyertai Kursus Pemantapan Program Pasak di Dewan UMNO Bahagian Sabak Bernam, di sini hari ini.

Hadir sama dalam program itu ialah Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam merangkap Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sabak Bernam, Rizam Ismail. - UTUSAN ONLINE