Ketua Pemuda PPBM negeri, Raja Mohd. Azlan Raja Omar berkata, keputusan berhubung pencalonan itu sekali gus mengetepikan peluang golongan muda untuk memimpin negara di samping menggambarkan ketandusan calon lain untuk memegang jawatan berkenaan.

Selain itu, katanya, keputusan tersebut yang diumumkan kelmarin tidak mencerminkan satu sistem kepemimpinan yang baik dalam pentadbiran.

“Saya tidak pernah melupakan jasa Tun. Dr. Mahathir tetapi pada zaman ini, bukan masa yang sesuai bagi beliau untuk kembali menjadi Perdana Menteri kerana kita memerlukan seorang yang muda untuk konsisten dalam pentadbiran akan datang.

“Bukan Tun Dr. Mahathir sekejap (menjadi Perdana Menteri), kemudian tukar Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bila parti kita hendak maju kalau sistem bertukar-tukar? Saya secara peribadi berasakan tidak sesuai (Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri)," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Sidang akhbar yang turut dihadiri Pemangku Ketua Pemuda PPBM Temerloh, Sharipul Fairuz Mohd. Sharip; Ketua Pemuda PPBM Bahagian Kuantan, Mohd. Asyraf Muhammad Asri dan ahli-ahli parti berkenaan diadakan berikutan pergolakan yang berlaku dalam PPBM negeri.

Konvensyen Pakatan Harapan yang diketuai DAP kelmarin meng­umumkan Dr. Mahathir sebagai c­alon Perdana Menteri sementara manakala Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail pula calon Timbalan Perdana Menteri jika pembangkang menang dalam pilihan raya umum kelak.

Sementara itu, Sharipul Fairuz berkata, pihaknya meragui dan sangsi dengan gandingan Dr. Mahathir serta Wan Azizah untuk menerajui dua jawatan tertinggi dalam pentadbiran negara jika Pakatan Harapan memenangi PRU-14.

Sebagai isteri kepada Anwar, katanya, sudah tentu Wan Azizah mempunyai perasaan sangsi dalam dirinya terhadap individu yang memenjarakan suaminya sehingga menimbulkan krisis negara pada masa itu.

“Kita juga membantah pemilihan Anwar sebagai calon Perdana Menteri selepas Dr. Mahathir ke­rana meragui hubungan mereka berdasarkan sejarah. Ini bukan sesuatu yang bijak.

“Kita tidak pasti sama ada Anwar ini mampu menjadi Perdana Menteri kerana beliau sudah keluar dan masuk penjara atas kesalahan dibuktikan di mahkamah. Adakah kita memerlukannya lagi sebagai Perdana Menteri?” soalnya.