Soal yang menjuruskan kepada bentuk kerjasama Pas- UMNO, kedua-dua parti terbesar Melayu itu merupakan salah satu daripada dua usul politik yang dibahaskan pada hari terakhir Muktamar Dewan Pemuda Pas ke-59 di sini, petang ini yang dihadiri lebih 700 perwakilan dari seluruh negara.

Usul yang dicadangkan oleh Dewan Pemuda Pas Kawasan Kota Raja yang kemudiannya diterima ialah mendesak kepemimpinan Pas menentukan rakan politik menerusi kaedah ‘Tahaluf’ (kerjasama harakah Islam dengan mana-mana pergerakan lain yang tidak bermatlamatkan Islam di dalam perjuangannya).

Mereka bagaimanapun membuat ketetapan menolak pendekatan ‘Taawun’ (tolong-menolong dalam perkara yang baik) yang dianggap terlalu anjal manakala dengan UMNO-Barisan Nasional mestilah diikat oleh garis-garis yang jelas dan berprinsip.

Dewan itu juga mahu langkah diambil bagi mengukuhkan Gagasan Sejahtera dengan menzahirkan keikhlasan Pas menerusi lantikan politik dalam kerajaan Kelantan dan Terengganu kepada rakan daripada gagasan Sejahtera, sekali gus terbuka untuk mereka menjadi agen semak dan imbang.

Selain itu ia turut dibuktikan menerusi lantikan politik kepada wakil Pas dan Gagasan Sejahtera di dalam kerajaan UMNO-BN di Pahang dan Perlis.

Ketika usul ini dibentangkan, wakil Pemuda Pas Tumpat antara yang meminta supaya disokong tetapi dengan sedikit pindaan manakala wakil Pemuda Gopeng yang bangkit menyokong turut meminta supaya langkah mempercepatkan usaha itu diambil.

Akhirnya, selepas undian dibuat, perwakilan yang menyokong dengan pindaan mendapat 273 undi manakala 58 tidak bersetuju dan selebihnya pula berkecuali.

Turut diterima dan diluluskan sebulat suara ialah usul tergempar oleh Dewan Pemuda Pas Pusat yang menggesa parti supaya menerajui usaha-usaha untuk menyatu survival politik Islam-Melayu di negara ini.

Ia bagi mengukuhkan kembali serta mengekang anasir-anasir yang menjejaskan keharmonian politik serta masa hadapan agama, rakyat dan negara .-UTUSAN ONLINE