Mohd. Akmal Kamaruddin
Mohd. Akmal Kamaruddin 

Ketua Dewan Pemuda Pas negeri,  Akmal Kamaruddin berkata,  Yew Yin membuat dakwaan yang sangat serius berhubung amalan rasuah dalam pengurniaan darjah kebesaran oleh Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

Menurutnya,  Yew Yin juga membuat  tuduhan berat bahawa campur tangan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah  untuk tidak meneruskan lantikan beliau.

"Pemuda Pas Perak mengecam tindakan biadab taikun DAP, Yew Yin yang secara terang dan jelas mencemarkan institusi diraja Perak.

"Tindakan Yew Yin dilihat sengaja membangkitkan rasa kebencian rakyat terhadap sultan malahan seolah-olah mencabar kontrak sosial yang telah dimenterai dalam Perlembagaan yang selama ini dipegang oleh semua lapisan masyarakat berbilang kaum khususnya di Perak," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Pemuda Pas Perak  bersetuju dan merakamkan ucapan tahniah di atas tindakan tepat Menteri Besar,  Datuk  Seri Ahmad Faizal Azumu yang mengambil keputusan  tidak meneruskan khidmat Yew Yin menganggotai Majlis Penasihat Ekonomi Negeri.

Menurutnya, walaupun  Yew Yin penyuntik dana politik dalam Pakatan Harapan, namun ia bukanlah membolehkan beliau mengatakan sewenang-wenangnya.

"Pemuda Pas Perak  menggesa Yew Yin segera tampil menyembah permohonan ampun kepada Sultan Perak.

"Dalam masa  sama, beliau perlu membuat permohonan maaf secara umum di media dalam tempoh 24 jam di atas kata-katanya yang melampau dan menyinggung banyak pihak, selain berisiko mengundang tindak balas negatif," katanya. - UTUSAN ONLINE