Malah lebih daripada itu, Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP), Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kepemimpinan parti tersebut bersedia untuk memberi pandangan berhubung perkara tersebut sekiranya diberi ruang untuk berbuat demikian.

“Kami mengalu-alukan cadangan itu kerana dalam dunia tanpa sempadan hari ini, terlalu banyak berita palsu dilemparkan.

Untuk itu, Pas bersedia memberi pandangan berhubung penggubalan aktar berkenaan jika diberi ruang.

“Sebolehnya mungkin kami mahu tengok dulu cadangan tersebut. Kami tak mahu akta itu nanti cuma dikenakan terhadap pihak tertentu saja seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dulunya dilaksanakan atas asas tidak sama rata,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada majlis minum petang bersama rakyat di Taman Budiman di sini, hari ini.

Ditanya pandangannya mengenai keputusan Istana Kelantan untuk menarik semula darjah kebesaran beberapa individu kebelakangan ini, Muhammad Khalil berkata, perkara itu perlu dihormati sepenuhnya.

“Saya fikir itu merupakan ‘signal’ kepada rakyat Malaysia khususnya mereka di Kelantan supaya berhati-hati dengan parti-parti seperti PAN dan rakan sekutunya,” katanya.

Akhbar baru-baru ini melaporkan, Sultan Muhammad V menarik balik darjah kebesaran Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad; Naib Presiden PAN, Husam Musa dan Pengerusi PAN Kelantan, Wan Abd. Rahim Wan Abdullah.