Ketuanya, Datuk Shaiful Ha­zizy Zainol Abidin berkata, sehubungan dengan itu pihaknya hari ini membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa membuat siasatan seterusnya mengambil tindakan sewajar ke atas Mahfuz mengikut peruntukan undang-undang.

“Kami menganggap tindakan Mahfuz menyerbu masuk ke dalam DUN sebaik Sidang DUN ditangguhkan semalam untuk menyerahkan satu memorandum kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah adalah biadab.

“Perkara ini perlu diambil tindakan segera kerana kita bimbang ia akan dijadikan amalan pihak-pihak tertentu untuk melanggar peraturan dengan menjadikan DUN sebagai pentas bagi mempamerkan kehebatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pemuda UMNO diwakili Setiausaha Kerjanya, Mohd. Tahir Md. Zain membuat laporan polis berhubung perkara tersebut di Ibu pejabat Polis Daerah Kota Setar di sini hari ini.

Kata beliau, pihaknya juga bimbang dengan keselamatan Menteri Besar, Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berikutan tindakan Mahfuz tersebut.

“Kita bimbang dengan kese­lamatan Menteri Besar kerana dalam peringkat itu pun (Mahfuz) boleh bawa orang untuk serbu dewan dan tarik tangan Menteri Besar,” ujarnya.

Shaiful Hazizy yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Besar berkata, Mahfuz dilihat bertindak sedemikian untuk mencari publisiti murahan.

“Nasihat kami kepada Mahfuz adalah pergilah berkhidmat dan melunaskan janji-janji beliau kepada penduduk di Parlimen Pokok Sena,” ujarnya.

Beliau pada masa sama me­minta pihak keselamatan Wisma Darul Aman agar memperketatkan kawalan keselamatan ketika Sidang DUN berlangsung bagi mengelak insiden seperti itu berulang.

Ahmad Bashah semalam ter­kejut dengan tindakan Mahfuz yang menyerbu masuk ke dalam dewan bersama sekumpulan penduduk sebaik sahaja Sidang DUN ditangguhkan.

Memorandum tersebut ber­kaitan isu pengambilan tanah untuk projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di Kampung Bukit Pinang.