Khairy Jamaluddin

Ketuanya, Khairy Jamaluddin menegaskan, tiada sebarang alasan yang boleh diberi oleh mereka yang didapati bersalah dalam serangan tersebut untuk menghalalkan atau menjadi justifikasi terhadap serangan yang dibuat ke atas orang awam itu.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, adalah menjadi keutamaan semua pihak supaya sentiasa berwaspada dan melakukan persiapan terbaik dari sudut keselamatan dalam sebarang kejohanan sukan dalam negara, khususnya menjelang Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur nanti.

“Perkara ini perlu dilihat sebagai keutamaan dan aspek terpenting supaya sebarang kejadian yang tidak diingini dapat dielak, sekali gus dapat melangsungkan aktiviti sukan dengan jayanya.

“Oleh itu, faktor keselamatan di mana sahaja bukan hanya di negara Barat bahkan di negara kita perlu menjadi keutamaan mereka,” katanya dalam sidang akhbar program Malaysia Urban Retreat Festival (Murfest) di sini hari ini.

Mengenai program Murfest yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam, Khairy berkata, program berkenaan merupakan tahun kedua diadakan dan bertujuan untuk memperluaskan lagi konsep Fit Malaysia.

Katanya, program tersebut sangat sesuai untuk orang ramai kerana faedahnya bukan sahaja untuk aktiviti kecergasan tetapi merangkumi kesihatan terutama untuk badan dan minda.

“Saya harap kita dapat memperluaskan lagi program Murfest yang telah pun menarik minat daripada penggiat aktiviti kesihatan badan di Malaysia dan luar negara.

“Saya harap untuk Fit Malaysia akan datang dapat bekerjasama dengan pihak yang menawarkan konsep-konsep kesihatan, kecergasan, terapi dan segala aspek gaya hidup yang dipromosikan melalui Murfest ini,” katanya.