Ahli Jawatankuasa Pemuda Amanah Lumut, Mohd. Ikhmal Mohd. Iskandar berkata, dalam hal ini pihaknya pasti dan percaya bahawa pihak berkuasa akan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang tanpa sebarang tekanan politik.

“Bagaimanapun, Pemuda Amanah Lumut berpegang kuat kepada prinsip bahawa sesiapa sahaja tidak bersalah sehingga terbukti bersalah.

“Semoga peristiwa ini menjadi pengajaran kepada semua pihak dalam kita mengisi Malaysia Baru yang lebih aman, selamat dan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Menyantuni Masyarakat anjuran Pemuda Amanah Lumut dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan di sini, Arif Lumut di Batu Tiga Segari di sini hari ini.

Anak lelaki seorang menteri yang ditahan polis kerana disyaki positif dadah jenis ganja ketika berada di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur malam tadi ialah anak kepada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Anak lelaki Mohamad, Ahmad Saiful Islam Mohamad, 31, ditahan kerana disyaki positif dadah, awal pagi tadi.

Dia ditahan bersama-sama seorang lagi rakannya berusia 33 tahun merupakan antara 101 individu iaitu 55 wanita dan 46 lelaki yang diperiksa dalam Op Pusat Hiburan, malam tadi.

Operasi itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) dan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Dia bagaimana pun telah dibebaskan dengan jaminan polis, petang tadi. - UTUSAN ONLINE