Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, perkara itu jelas kerana sejarah telah membuktikan bahawa setiap pemimpin hadir mengikut kesesuaian zamannya.

Beliau berkata, disebabkan itu juga, UMNO terus menjadi parti keramat kepada bangsa Melayu biarpun diuji dengan pelbagai dugaan sejak 71 tahun lalu.

‘‘Kita anggap UMNO parti keramat tetapi keramat tidak jadi secara automatik. Cuba kita tengok masa mula-mula kita mahu merdeka dulu, kita diberikan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

‘‘Karakter Tunku sesuai dengan zaman merdeka. British pada masa itu suka Tunku kerana beliau ‘gentleman’ dan boleh bergaul dengan pelbagai kaum sehingga British yakin untuk beri kemer­dekaan kerana mereka yakin pe­mimpin ini boleh menjaga semua kaum,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Terdahulu, Johari dan Ikmal Hisham diarak menaiki kereta kuda dengan diiringi pemuda berkuda yang berpakaian pahlawan Melayu.

Johari yang juga Menteri Ke­wang­an II berkata, keupayaan pe­mimpin-pemimpin telah membawa ekonomi negara berkembang dengan pantas bermula daripada RM4 bilion ketika mula merdeka kepada RM1.2 trilion hari ini.

Justeru, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak tersalah memilih pemimpin kerana boleh membawa kemusnahan kepada negara.

‘‘Kalau salah pilih bawa masalah kepada kita. Kalau kita pilih pemimpin yang zamannya sudah habis tetapi pura-pura ma­suk zaman baharu akan masalah.

‘‘Ketika ini negara berdepan dengan ekonomi digital dan dalam masa yang sama ledakan teknologi turut memberi tempias terhadap pembangunan negara.

‘‘Zaman pemimpin dahulu tak ada media sosial, tetapi zaman Datuk Seri Najib Tun Razak perkara ini berlaku. Beliau mene­rima setiap kritikan dan masih boleh tersenyum biarpun orang kata macam-macam dalam Facebooknya,’’ katanya.