Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, golongan tersebut juga perlu mengimbangi peranan masing-masing kerana kini pemimpin pembangkang dilihat semakin agresif mendekati masyarakat dengan melemparkan tohmahan dan hasutan.

“Kelompongan dalam BN sekarang ini, kita tidak mahu bercakap secara politik tetapi secara kerajaan. Inilah masalahnya. Rakan-rakan parti komponen juga kena bijak menghuraikan apa itu BN, apa itu MCA, MIC dan jangan hanya bercerita soal kerajaan.

“Jadi nasihat saya kepada pemimpin UMNO dan BN, walaupun ada yang jadi menteri dan timbalan menteri dalam kerajaan, kerja kerajaan buat juga, tetapi mesti bijak berpolitik, mengupas dan menjawab perkara-perkara yang berkaitan politik," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Jelajah Perjuangan For All di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Setiausaha UMNO negeri, Datuk Hasim Rusdi dan Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Abu Ubaidah Mohd. Redza.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, pembangkang dilihat lebih cekap berpolitik kerana mereka tidak memikul tanggungjawab sebagai kerajaan sekali gus berperanan menghasut rakyat dengan meremehkan kejayaan kerajaan.

Oleh yang demikian katanya, pemimpin parti perlu menjelaskan tentang asas dan dasar yang mahu diterjemahkan bagi membuka mata masyarakat tentang perjuangan sebenar UMNO dan BN.

“Dasar itu yang akan menterjemah apa yang kita lakukan apabila diberi kuasa, kalau tidak nanti orang tolak kerana benci kita.

“Kita sudah fikir baik buruk untuk rakyat tetapi pembangkang tetap akan spin dan inilah iktibar yang saya fikir UMNO, BN dan parti komponen mesti bangun dan tampil berhadapan dengan realiti politik," tegasnya. - UTUSAN ONLINE