Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sehubungan itu, pemimpin berkenaan tidak boleh menunding jari kepada kerajaan sekiranya berhadapan masalah dengan jabatan itu sewaktu urusan pendaftaran parti mereka dahulu kerana tidak mematuhi peraturan ditetapkan ROS.

"(Presiden PPBM) (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) pernah jadi menteri dan pernah duduk dekat beberapa kementerian, kemudiannya pernah menjadi TPM (Timbalan Perdana Menteri), malah (Pengerusi PPBM) (Tun Dr) Mahathir (Mohamad) pernah jadi PM (Perdana Menteri) selama 22 tahun.

"Jadi mereka patut lebih tahu. Tidak boleh langgar peraturan. Sebab mereka tidak mahu ikut (peraturan) kemudian nak kata kerajaan salah," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan Bantuan Rakyat 1Malaysia kepada 270 penerima dari Parlimen Padang Terap di Kuala Nerang dekat sini hari ini.

Mahdzir yang juga Anggota Parlimen Padang Terap berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Muhyiddin yang mendakwa kononnya ROS pilih kasih dengan mempersoalkan keadilan jabatan itu dalam menangani isu UMNO dan parti lain.

Pada 1 Mac lepas, Muhyiddin dipetik sebagai mendakwa keputusan ROS meluluskan penangguhan pemilihan parti UMNO jelas bercanggah dengan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO dan ketika PPBM berdepan isu sama jabatan itu menolak sebarang penangguhan dibuat sebaliknya mendesak dilaksanakan segera sekiranya ingin lulus berdaftar sebagai sebuah parti.

Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan berkata pemimpin itu perlu memahami bahawa terdapat dua isu berbeza iaitu UMNO hanya memohon penangguhan pemilihan parti mengikut peraturan ditetapkan jabatan itu manakala PPBM ketika itu berhubung dengan pendaftaran untuk berdaftar sebagai sebuah parti politik baharu.

"Jadi kalau kita hendak mendaftar sebagai sebuah parti politik ada peraturan dan syarat, maka penuhilah syarat dan peraturan itu. Kalau ada mesyuarat cawangan, tetapi tidak buat kemudian ada pula mesyuarat bahagian, selepas itu mesyuarat peringkat kebangsaan, macam mana tu? Mesyuarat di peringkat akar umbi ni tak buat macam mana?

"Contohnya saya di (Parlimen) Padang Terap ini ada 142 cawangan UMNO di Bahagian Padang Terap ini. Setiap satu cawangan ini mesti memenuhi ROS punya standard. Ada borang ROS iaitu Ketua cawangan UMNO kena isi borang 9 ini. Borang ini perlu dikumpul daripada 142 cawangan ini dan dihantar kepada ROS.

"Kemudian ROS bagi balik kepada kita dengan mengatakan cawangan tuan diluluskan mesyuarat agung, jadi teruskan sebagai cawangan, tahun depan ada mesyuarat hantar lagi borang 9. Setiap tahun kena hantar. Kemudian bahagian macam itu juga, ada mesyuarat peringkat bahagian, kena isi borang 9 ini," katanya. - BERNAMA