Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, sektor pertanian dianggap sebagai industri yang tidak mempunyai masa hadapan sekali gus dasar-dasar perindustrian negara lebih terarah kepada pembuatan dan pengeluaran.

Jelasnya, keadaan itu menye­babkan 20 peratus sahaja be­kalan daging dikeluarkan dalam negara manakala hampir 80 peratus lagi diimport.

Walaupun tidak menamakan pemimpin terdahulu itu, dipercayai perkara itu merujuk kepada dasar-dasar pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang terlalu menumpukan perindustrian moden.

“Satu ketika dulu mereka labelkan industri pertanian sebagai sunset dan bidang itu diperkecilkan,” katanya dalam sesi Hot Seat Bersama Menteri di ruang pame­ran Pergerakan Wanita UMNO di sini hari ini.

Tajuddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak pula gigih memulihkan keadaan bagi membangunkan sektor pertanian negara terutama bagi me­ningkatkan hasil makanan serta eksport hasil pertanian Malaysia.

“Kerajaan kini amat menekankan sektor pertanian terutama menarik penyertaan golongan muda dan banyak bentuk bantuan dan sokongan disediakan.
 “Ketika ini, durian yang merupakan imej buah negara amat laris di pasaran China dan ini memberi peluang kepada rakyat tempatan,” katanya.