Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, sikap negatif sesetengah pemimpin menyebabkan imej UMNO dan BN menjadi buruk di mata rakyat.

“Kita kena cermin diri kita. Memang ada fitnah, saya pun difitnah tetapi disebabkan sikap kita, rakyat mudah percaya fitnah itu.

“Sebab sikap kita sendiri, apabila berkuasa kita jadi sombong dan kesombongan itu melampau, kita menjadi contoh (gambaran rakyat terhadap) UMNO,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya di sini hari ini.

Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO berlangsung serentak di 191 bahagian di seluruh negara bermula pukul 9 pagi ini. - UTUSAN ONLINE