Merujuk pergeseran antara Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, Tian Chua berkata sebagai kerajaan baharu, harapan rakyat adalah untuk melihat pemerintahan PH kukuh.

"Semua pemimpin PKR harus memberi sokongan penuh selain tidak melakukan sesuatu yang akan meragukan keyakinan rakyat terhadap kerajaan PH.

"Jadi semua pemimpin walaupun ada sedikit salah faham pun jangan menguar-uarkan secara terbuka kerana ini akan menyebabkan rakyat kecewa dengan parti kita," katanya selepas menjadi tetamu dalam program Temu Bual Eksklusif Bernama Radio, hari ini.

Beliau mengulas harapan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu Mohamed Azmin dan Rafizi saling bekerjasama dalam memastikan agenda reformasi dapat dilaksanakan.

Rafizi sebelum ini dilihat lantang mempersoal beberapa keputusan kerajaan termasuk berhubung pelantikan beberapa portfolio kanan dalam Kabinet sehingga dikritik beberapa pemimpin PKR termasuk Mohamed Azmin.

"Harapan rakyat adalah untuk melihat pemerintahan PH kukuh. Ini bukan agenda peribadi jadi saya memang mengalu-alukan seruan Anwar. Ini juga bukan terhad kepada dua pemimpin itu sahaja.

"Jadi, tepatlah jika Rafizi ada apa-apa masalah, eloklah kalau kita dapat mengeratkannya lagi dengan melakukan perbincangan secara aman," katanya. - BERNAMA