Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya menunggu pendedahan yang akan dibuat oleh Ahli Parlimen Port Dickson itu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.

“Terpulang kepada dia (Anwar Ibrahim), dia dedahkan dulu siapa pemimpin itu barulah kita buat kenyataan.

“Kita pun ada kenyataan pemimpin lain ada menerima bantuan dari luar negara dengan jumlah yang sangat besar, itu lagi haram. Kita tak ada bukti (tuduhan terhadap Pas), kita bergerak sendiri,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Perak Kali Ke-36 di Felda Residence Hot Spring di Sungkai di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dan Ketua Pemuda Pas Perak, Mohd. Akmal Kamaruddin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Anwar dalam sebuah forum di sebuah institusi pendidikan tinggi (IPT) di Nilai, Negeri Sembilan kelmarin yang akan mendedahkan identiti pemimpin Pas yang bertanggungjawab menerima wang daripada UMNO.

Menurut Abdul Hadi, dalam melakukan siasatan perkara tersebut, kerajaan perlu melakukan secara adil dengan tidak memberi tumpuan kepada Pas sahaja sebaliknya turut melakukan siasatan sama kepada parti politik lain termasuk apa yang diterima Anwar.

“Kerajaan jangan siasat kita sahaja, kerajaan perlu siasat diri dia sendiri (Anwar) baru adil. Dia sebelum ini menguar-uarkan dapat duit dari luar negara dan biar dia berani (dedahkan).

“Pas ini jika dihimpunkan derma yang diterima pada setiap ceramah pada sepanjang tahun, lebih daripada RM90 juta kita boleh dapat dan beribu Pusat Asuhan Tunas Islam atau PASTI boleh dibuka hanya daripada sumbangan kita sendiri,” katanya. - UTUSAN ONLINE