Beliau juga berharap individu-individu berbakat akan muncul dan parti menggalakkan mereka yang berbakat untuk menjadi pemimpin.

“Dalam Bersatu, ada ramai orang muda yang menunjukkan kebolehan besar. Ketua Pemuda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Majlis Tertinggi, Mohd. Rafiq Naizamohideen adalah contoh yang baik,” katanya seper­ti dipetik daripada wawancara bersama Sinar Harian dan Malaysiakini, baru-baru ini.

Dr. Mahathir berkata demikian ketika ditanya mengenai pelan peralihan untuk menggantikannya dalam parti itu.

Beliau juga dijangka menye­rahkan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa dua tahun.

Walau bagaimanapun, tidak pasti sama ada beliau akan kekal menjadi Pengerusi Bersatu apabila peralihan itu berlaku.

Mengenai usaha menentang rasuah dalam kalangan pemim­pin dan ahli Bersatu, Dr. Mahathir berkata, tidak mustahil untuk mereka ditimpa nasib sama se­perti UMNO jika mengikut amalan pemimpin parti itu yang didakwanya menambahkan kekayaan sendiri.

“Perkara yang merosakkan UMNO adalah rasuah dan lain-lain perkara. Kalau kita juga menjadi parti yang dikuasai perasaan tamak, maka kita tahu kita akan ditolak rakyat.

“Usia kita bergantung kepada betapa jujur kita dalam usaha melawan rasuah. Kalau (Bersatu) buat benda baik (apabila saya sudah tiada nanti), saya rasa (Bersatu) akan kekal,” jelasnya.

Dr. Mahathir juga bimbang Bersatu akan ditolak oleh rakyat sekiranya pemimpin-pemimpin parti itu terpengaruh dengan budaya yang merosakkan UMNO sebelum ini.