Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, perkara itu membezakan antara pemimpin UMNO dan pembangkang seperti DAP yang mempunyai bahasa yang begitu teruk.

“Biarpun doa orang bukan Islam tidak akan diterima oleh Allah SWT tetapi itu memberikan mesej yang jelas bahawa pemimpin DAP begitu teruk, tidak bersopan dan tidak berbudi bahasa.

“Berbeza dengan pemimpin UMNO, kita tidak akan mendoakan seperti itu setiap kali selepas solat, tetapi kita akan mendoakan yang baik untuk kesejahteraan rakyat.

“Itu beza kita orang Islam, walaupun berbeza pandangan dan parti politik, kita sentiasa mendoakan kebaikan untuk seluruh rakyat,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Perasmian Ibadah Korban Aidiladha Pemuda UMNO Pahang di Surau Taman Jaya Diri Chenor di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd. Shahar Abdullah dan Ketua Wanita UMNO Maran, Datuk Rosni Zahari.

Baru-baru ini, Kor Ming melalui laman sosial Facebooknya memuat naik status yang meminta mendoakan BN yang rasuah dan pemimpin mencuri duit rakyat akan mampus menjelang PRU-14.

Tajuddin berkata, rakyat seharusnya bijak menilai untuk memilih pemimpin pada pilihan raya umum akan datang.

“Pemimpin yang tidak ada budaya, kasar dan tidak ada tatasusila macam mana hendak menjadi pemimpin?

“Kita hendak menjadi pe­mimpin perlu ada budi bahasa, contohnya seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.