Bagaimanapun parti yang pernah dianggap cauvinis dan rasis oleh Tun Dr.Mahathir Mohamad yang kini menjadi sekutu mereka memahami hasrat itu hanya boleh dicapai jika berjaya mendapat sokongan besar daripada orang Melayu.

Walaupun sudah tiga penggal menjalinkan kerjasama dengan PKR, namun DAP masih belum dapat menguasai pengundi-pengundi Melayu. Oleh itu, DAP mencari sekutu baharu bagi tujuan tersebut selepas berjaya memperdaya masyarakat Cina menyokong mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) melalui pendekatan menyebarkan ‘virus’ kebencian, fitnah dan maki hamun terhadap kerajaan BN.

Kini ‘virus’ itu sekali lagi akan digunakan bagi memastikan cita-cita mereka untuk menumbangkan BN dan kali ini dengan ‘memperalatkan’ pemimpin Melayu. Sehubungan itu, selepas menerima PAN iaitu parti serpihan Pas, DAP bersedia bekerjasama dengan PPBM yang di­pimpin oleh Dr. Mahathir.

Biarpun pemimpin berusia 93 tahun itu musuh ketat suatu ketika dahulu tetapi DAP me­nganggap mereka tidak boleh melepaskan peluang keemasan untuk memperalatkan penga­ruh Dr. Mahathir dan PPBM yang merupakan parti serpihan UMNO bagi mendapat sokongan orang Melayu.

Kerjasama dengan kedua-dua parti itu menjadi modal kepada DAP untuk menguar-uarkan akan berlaku tsunami Melayu berikutan perpecahan dalam UMNO dan Pas.

Bagi mencapai hasrat tersebut, menurut satu sumber, pe­mimpin ketiga-tiga parti Melayu berkenaan iaitu PKR, PPBM dan PAN seolah-olah diberikan tanggungjawab untuk menyebar ‘virus’ benci, fitnah dan maki hamun dengan tujuan menghasut orang Melayu menolak BN yang UMNO menjadi tonggaknya da­lam PRU-14.

Sumber itu menjelaskan, ‘virus’ tersebut yang selama ini sememangnya sudah sebati dengan politik DAP ‘dipindahkan’ pula kepada pemimpin-pe­mimpin Me­layu berkenaan untuk menarik sokongan orang Melayu.

“Kalau melihat kepada ke­nyataan dan ucapan pemimpin-pemimpin tersebut, mereka ba­gaikan sudah diberi tanggungjawab ‘virus’ apa yang perlu di­sebarkan. Pemimpin PPBM menaburkan kebencian, pemimpin PKR melakukan fitnah, manakala pemimpin PAN menghamburkan maki hamun. Sasaran serangan mereka ialah UMNO dan Pas,’’ katanya.

Menjawab satu soalan sumber itu berkata, pemimpin-pe­mimpin DAP ‘memperkudakan’ pemimpin-pemimpin Melayu untuk berbuat demikian kerana me­mahami orang Melayu tidak akan senang jika mereka yang melakukannya.

“Pemimpin-pemimpin DAP hanya akan menyebarkan ‘virus’ tersebut apabila berucap di hadapan pengundi-pengundi Ci­na,’’ katanya.

Sumber itu turut mendedahkan, DAP turut didakwa mengedarkan risalah di kawasan penduduk Melayu bagi menanamkan rasa benci kepada kerajaan BN.

“Risalah ini difahamkan diedarkan dengan menggunakan khidmat runner kepada kumpulan sasaran,’’ katanya.

DAP kata sumber tersebut menjadikan PRU-14 sebagai sasaran utama untuk memastikan gabungan pembangkang PKR berjaya menumbangkan BN kerana memahami kemenangan gabungan itu bermakna ia memberi kuasa kepada mereka untuk memerintah.

“Oleh itu pemimpin-pemimpin Melayu ditugaskan sepenuhnya menjalankan kerja-kerja menyebarkan ‘virus’ tersebut dengan harapan ia akan mempengaruhi orang Melayu mengundi gabungan pembangkang yang tersirat bermaksud memberi kemenangan kepada DAP,” katanya.