Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi meredakan kemarahan itu, kebijaksanaan para pemimpin di semua peringkat amat diperlukan supaya ia tidak merebak sehingga menjadi krisis berpanjangan.

"Para pemimpin tidak sepatutnya hanya mempertahankan kaum atau agamanya sahaja tetapi berpegang teguh kepada prinsip keadilan sejagat. Keputusan akhir yang dibuat mesti dihormati sama ada dalam kalangan pihak yang setuju atau sebaliknya.

"Pihak yang terlibat harus terima dan dapat maklumat yang benar mengenai apa yang berlaku supaya dapat diselesaikan dengan baik," katanya ketika berucap dalam Majlis Jamuan Muhibbah Deepavali dan perasmian Dewan Majestic, di sini hari ini.

Beliau merujuk kepada insiden kekacauan di Kuil Sri Maha Mariaman di USJ 25, Subang Jaya, Selangor awal minggu ini hingga menyebabkan penjawat awam cedera dalam rusuhan.

Menurutnya, keganasan tidak sepatutnya dijadikan kaedah untuk menyelesaikan apa jua isu yang berbangkit.

Dalam hal itu, tambahnya, setiap lapisan masyarakat mesti memberi sokongan padu kepada pasukan keselamatan melaksanakan tindakan bagi memelihara keamanan dalam masyarakat.

"Jangan benarkan tolak ansur terhadap dalang yang melakukan keganasan. Saya tidak peduli jika yang terlibat adalah Melayu, Cina atau India. Sokongan kuat mesti diberikan kepada pihak berkuasa terutamanya polis dan semua agensi kerajaan melaksanakan tugas tanpa diganggu," ujarnya. - UTUSAN ONLINE