HEE YIT FOONG
HEE YIT FOONG

Beliau yang merupakan bekas ahli DAP selama 24 tahun berkata, malahan pemimpin DAP semasa pakatan pembangkang menguasai Perak pada 2008 pernah menghinanya kerana statusnya sebagai orang kurang upaya (OKU).

Katanya, penghinaan itu amat mengguriskan hatinya dan masih dirasakan sehingga hari ini.

"Sebenarnya pada masa itu saya dijanjikan jawatan sebagai exco kerajaan negeri tetapi apabila tidak dilantik, saya tidak kecewa namun mahu tahu sebab saya tidak dilantik.

"Jawapan yang diberikan daripada pemimpin DAP berkenaan begitu menyedihkan iaitu kerana kekurangan fizikal saya menyebabkan saya tidak dilantik," katanya.

Yit Fong ialah salah seorang daripada tiga ADUN pakatan pembangkang bersama-sama bekas ADUN Behrang, Datuk Jamaluddin Radzi dan bekas ADUN Changkat Jering, Datuk Osman Jailu meninggalkan parti masing-masing dan mengisytiharkan diri sebagai ADUN Bebas pada Februari 2009 yang mengakibatkan kejatuhan kerajaan pakatan pembangkang di Perak.

Menurut Yit Fong, rentetan daripada penghinaan itu, pemimpin yang menghinanya telah dimarahi oleh bekas Pengerusi DAP pada masa itu, mendiang Karpal Singh.

"Mendiang Karpal kata beliau juga OKU tetapi boleh menjadi pemimpin parti," katanya.

Menurut Yit Fong, berdasarkan peristiwa yang dialaminya sepuluh tahun lalu menyebabkan dia tidak hairan jika pemimpin DAP berkenaan terus menghina orang lain.

"Kata-kata penghinaan daripada pemimpin DAP disebabkan mereka sombong, merasakan hanya mereka sahaja yang pandai, lebih bagus daripada semua orang," katanya. - UTUSAN ONLINE