Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini, status CEC parti pembangkang itu sedang dalam kajian ROS untuk dinilai daripada aspek perundangan bagi menentukan sama ada ia mematuhi perlembagaan parti itu.

‘‘Memang ada permohonan daripada pemimpin DAP terutama Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng kepada ROS yang meminta kepemimpinan DAP yang dipilih menerusi CEC sebelum ini (September 2013) diterima untuk memegang jawatan yang sah dalam parti.

‘‘Perkara ini (permohonan) telah dikaji secara teliti dan mendalam oleh ROS dan mereka bukan hanya mengkaji aspek perundangan tetapi ROS turut berperanan menjaga kepentingan mana-mana pertubuhan berdaftar dengan suruhanjaya itu.

‘‘Dalam perkara ini, perlembagaan dan peraturan yang ada dalam mana-mana parti yang berdaftar dengan ROS akan diikuti sepenuhnya,’’ ujar beliau di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Kluang, Liew Ching Tong yang mendakwa kenyataan dibuat oleh Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad mengenai kemungkinan sama ada DAP dibenarkan menggunakan logo roket atau tidak pada PRU-14.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau telah berbincang mengenai perkara itu dengan Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah sebelum ini tetapi tiada keputusan muktamad tentang rayuan yang dibuat DAP itu dimaklumkan dalam pertemuan berkenaan.

Katanya, beliau sekali lagi akan mengadakan pertemuan dengan ROS minggu depan dan meminta Mohammad Razin agar menyediakan laporan rasmi secara bertulis kali ini.

‘‘Apa pun, saya tidak nampak ada usaha membubarkan (DAP) atau sebaliknya, ia (keputusan bubar) bergantung kepada aspek perundangan yang ada iaitu mengikut perlembagaan atau peraturan parti itu,’’ jelas beliau.