Reezal Merican yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, ketika ini, beliau bagaimanapun masih belum mengisi borang pencalonan itu dan akan melakukannya dalam masa terdekat.

"Saya tak buat secara rasmi lagi (pencalonan) tapi, melihat kepada keadaan sekarang, memang sekurang-kurangnya wajar untuk saya mempertahankan jawatan tersebut (MT)  sekiranya terpilih.

"Pertamanya, kita perlukan suara untuk Pulau Pinang memandangkan UMNO hanya memiliki dua kerusi Parlimen di sini.

"Kedua pula, saya memang telah memegang jawatan ini dan ketiga, saya melihat suara UMNO lebih bergema di Parlimen (memiliki 54 kerusi)," katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas ditemui pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada hampir 200 penerima di sekitar kawasan Parlimen ini hari ini.

Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, beliau enggan menawarkan diri untuk bertanding jawatan lebih tinggi buat masa ini kerana khuatir 'mesej' yang akan dibawa tidak sampai ke mana.

"Kalau terlalu ramai (bertanding jawatan tertinggi) dan masing-masing mahu membawa 'formula' mereka sendiri, saya bimbang keadaan akan menjadi 'caca-merba'.

"Jadi, lebih baik saya kekal (sebagai ahli MT) jika terpilih," ujar beliau.-UTUSAN ONLINE