ROS dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, keputusan itu adalah berdasarkan rumusan yang diperoleh daripada siasatan yang dijalankan oleh jabatan itu.

“ROS bersetuju supaya laporan penuh pelaksanaan pemilihan semula tersebut disimpan oleh firma Grant Thornton mengikut tempoh masa wajar sepertimana keperluan perlembagaan parti.

“Surat rasmi memaklumkan keputusan ROS akan dikeluarkan pada Isnin ini,” menurut kenya­taan itu.

DAP mengadakan pemilihan semula CEC di Ideal Convention Centre Shah Alam (IDCC) Selangor pada 12 November lepas seperti diarahkan oleh ROS melalui surat bertarikh 21 September tahun lepas.

Ia berikutan jabatan tersebut menerima aduan ke atas pemilihan CEC DAP pada 2012 dan pemilihan semula CEC DAP pada 29 September 2013.

Firma audit antarabangsa Grant Thornton yang dilantik oleh DAP telah mengemukakan laporan penuh pelaksanaan pemilihan semula CEC DAP melalui surat bertarikh 27 November lalu.

ROS menerusi kenyataan tersebut turut memaklumkan pihaknya berpuas hati dengan siasatan yang telah dilaksanakan ke atas aduan melibatkan pemilihan semula itu sebelum ini dan kesemua aduan itu telah ditutup.

Menurutnya, sejak 28 November tahun lalu, ROS telah me­nerima 17 aduan ke atas pemilihan semula CEC tersebut dan aduan diterima adalah dari beberapa buah negeri iaitu Selangor, Ne­geri Sembilan serta Pulau Pinang.

"Daripada 17 aduan yang di­terima, hanya lapan pengadu yang mempunyai maklumat lengkap dan telah hadir memberi kete­rangan berkenaan aduan yang dibuat.

"Selain itu, terdapat juga pe­ngadu yang tidak memberikan kerjasama untuk memberi kete­rangan," jelas kenyataan tersebut.

ROS seterusnya mengingatkan setiap parti dan pertubuhan berdaftar supaya mentadbir dan menjalankan setiap urusan masing-masing mengikut kehendak Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan perlembagaan berdaftarnya.