AZAN ISMAIL
AZAN

Pengerusinya, Azan Ismail berkata, pendirian peringkat negeri mengenai individu paling layak menyandang jawatan nombor dua parti untuk digandingkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya akan diumumkan selepas senarai calon yang layak bertanding dimuktamadkan pada Khamis ini.

"Kita tidak mengikat ahli untuk menyokong mana-mana calon kerana kita memberi kebebasan dan ruang seluasnya kepada mereka untuk memilih kerana  kedua-dua calon mempunyai kelebihan dengan kewibawaan tersendiri dari segi pengetahuan serta pengalaman dalam parti.

"Tetapi mengambil kira (antara dua tokoh itu), Rafizi lebih dekat dengan akar umbi menerusi program-program yang dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Invoke yang diasaskan beliau," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kira-kira 800,000 ahli PKR akan mengundi dalam pemilihan PKR selama tiga minggu mulai pertengahan September ini.

Pemilihan kali ini menarik perhatian berikutan parti itu kini memegang tampuk pentadbiran negara selain turut diselubungi pelbagai isu termasuk dakwaan kewujudan dua kem.

Dalam perkembangan sama, Azan yang juga merupakan antara 12 calon Naib Presiden berkata, beliau memberanikan diri menawarkan diri bertanding jawatan itu adalah atas keperluan yang mendesak untuk menempatkan calon dari pantai timur di kedudukan berkenaan bagi membawa aspirasi dan suara ahli dari ketiga-tiga negeri. 

Biarpun tidak memiliki apa-apa jawatan di peringkat Pusat namun soal itu bukanlah suatu halangan kerana beliau percaya ahli memilih bukan berdasarkan kedudukan seseorang calon.

"Saya merupakan satu-satunya calon tunggal wakil dari Pantai Timur. Memandangkan saya tidak mempunyai kedudukan dalam kerajaan, sudah tentu saya tidak boleh dikaitkan dalam isu salah guna jawatan untuk raih sokongan atau berkempen.

"Saya berharap ahli akan melihat aspek representasi menyeluruh ketika memilih. PKR merupakan parti yang diwakili pelbagai kaum jadi saya mengharapkan komposisi pemimpin juga seimbang dengan adanya wakil bagi jawatan Naib Presiden dalam kalangan Cina, India serta kaum lain," katanya. - UTUSAN ONLINE