Menurutnya, ini disebabkan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR mungkin kekurangan petugas untuk PRK tersebut.

Beliau berkara, pihaknya sememangnya mengharapkan pengundian PKR Perak dapat diadakan secepat mungkin kerana parti akan menghadapi PRK Parlimen Port Dickson dan mulai sibuk pada Sabtu ini sehingga hari mengundi pada 13 Oktober.

“Oleh itu saya menjangkakan kelewatan untuk kita mengadakan pengundian di Perak, namun hanya JPP yang akan membuat keputusan muktamad.

“Tapi kalau ikutkan jadual yang kita tetapkan, tak ada ruang untuk pengundian dibuat kerana harus mengambil kira petugas JPP yang kurang disebabkan PRK Port Dickson, jadi saya tidak menolak kemungkinan pengundian di Perak akan diadakan selepas itu,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Lapangan Terbang Sultan Abdul Azlan Shah di sini hari ini.

Pemilihan PKR bagi negeri Perak yang dijadualkan berlangsung pada Ahad lalu dibatalkan ekoran kekecohan semasa pemilihan parti itu di Kedah dan Pulau Pinang yang berlangsung sehari sebelum ini. - UTUSAN ONLINE