Umum sedia tahu bahawa Larry Sng pada asalnya bertanding sebagai calon Bebas sebelum menyertai PKR dan berdasarkan cakap-cakapnya kini, beliau antara individu yang sangat memberi sokongan kuat kepada Rafizi.

Ujar penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Jeniri Amir, kemenangan Rafizi juga boleh dicapai menerusi gerak kerja yang dipamerkan oleh Larry Sng menerusi gerakan mendekati akar umbi.

“Sebelum ini ahli PKR Cabang Julau hanyalah sekitar 635 orang ahli sahaja tetapi kini jumlah sudah meningkat kepada 13,617 ahli dan ia merupakan satu angka yang cukup mengejutkan.

“Ditambah pula kekalahan Rafizi kepada penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini hanyalah setipis majoriti 1,642 di Sabah,” katanya kepada Utusan Online, hari ini,

Jeniri yang juga merupakan Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berkata, persaingan sengit antara Rafizi dan Azmin memang tidak dapat dinafikan.

“Walau bagaimanapun, keputusan akhir terletak di tangan ahli PKR Sarawak. Azmin mungkin boleh menang dan menggunakan rekod lalunya sebagai Menteri Besar Selangor.

“Namun demikian, Rafizi juga mempunyai potensi besar untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden tersebut kerana kredibiliti serta popularitinya di peringkat akar umbi ahli di Sarawak,” katanya

Sementara itu, bercakap tentang pertambahan jumlah ahli Cabang Julau, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataannya berkata, peningkatan yang berlaku adalah sehingga 2,000 peratus.

"Peningkatan mendadak jumlah ahli menjelang pemilihan terutamanya melibatkan cabang Julau di Sarawak telah menimbulkan kontroversi dan PKR akan membuat proses pemutihan ahli serta mengemas kini data keahliannya selepas pemilihan parti itu selesai," ujar Fahmi. - UTUSAN ONLINE