Pemilihan PKR: Juru audit luar dilantik pastikan integriti e-undi
Dr. Azdman Hedra

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Dr. Azdman Hedra berkata, langkah itu bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar, telus dan berintegriti.

"Ini bagi membuktikan sistem yang pertama kali dilaksanakan ini tidak terpalit dengan isu integriti dan manipulasi data seperti yang dibimbangi calon yang bertanding," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Dr. Adzman berkata, auditor terbabit akan memantau keseluruhan perjalanan pengundian daripada sebelum, semasa dan selepas pengundian.

Sementara itu, beliau menjelaskan sistem e-undi bukan sistem pengundian dalam talian seperti digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak tetapi merupakan kertas undi digital dalam peranti elektronik bagi memudahkan dan menjimatkan masa, kos serta tenaga manusia.

"Kita ingin menegaskan bahawa sistem ini adalah sistem undian tanpa kertas iaitu pengundi hanya perlu menekan butang pada peranti yang disediakan di kaunter saluran yang dibuka pada hari pengundian. 
"Sistem ini masih menjaga kerahsiaan pengundian anggota dan tidak membenarkan sebarang akses 'pintu belakang' daripada mana-mana pihak termasuk JPP untuk memanipulasi sebarang data termasuk jumlah undian," katanya.

Beliau berkata, pada hari pengundian, pengesahan identiti hanyalah melalui kad pengenalan dan setiap anggota yang ingin mengundi mesti menunjukkan resit rasmi bayaran yuran tahunan keanggotaan bagi 2018 kepada pengawas JPP yang bertugas sebelum slip kod bar digital dapat dicetak keluar dan diserahkan.

Slip kod bar digital yang dibawa oleh anggota tersebut akan melalui proses imbasan dan kertas undi digital akan muncul secara automatik pada skrin peranti elektronik yang digunakan mengikut Segmen Jawatan yang layak diundi.
"JPP membenarkan pengundi membawa masuk slip atau nota atau cebisan atau catatan yang dijadikan sebagai rujukan pantas ketika menanda kertas undi digital," katanya.

Menurut Azdman sistem itu 'mesra buta huruf' kerana gambar dan nombor calon tertera pada skrin, memudahkan pengundi membuat pilihan.

Jelas beliau, sistem ini mengelakkan undi rosak kerana mempunyai 'lock system' iaitu pemilih tidak boleh klik melebihi jumlah calon yang boleh dipilih.

“Perisian ini juga akan mengira jumlah undi secara automatik dan kita jangka keputusan diperoleh dalam masa singkat," katanya.

Pada hari pengundian yang akan dibuat di pusat cabang negeri, sebanyak empat saluran akan dibuka iaitu saluran satu lelaki berusia 35 tahun ke atas, saluran dua (wanita 35 tahun ke atas), saluran tiga (lelaki 35 tahun ke bawah) dan saluran empat (wanita berusia 35 tahun ke bawah).

Kira-kira 800,000 anggota PKR seluruh negara layak mengundi pada pemilihan kali ini yang melibatkan 218 cabang di seluruh negara.- BERNAMA