Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Azman Nasrudin berkata, sokongan berkenaan sangat penting bagi memastikan Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu mampu mengekalkan jawatannya dan terus memimpin PKR.

Katanya, bagi menunjukkan kesetiaan kepada Mohamed Azmin yang banyak berjasa kepada PKR, beliau telah membawa 13 buah bas penyokong dari Kedah untuk menyatakan sokongan kepada Timbalan Presiden yang berucap pada Majlis Semarak Merdeka, di sini malam ini.

"Kita akan pastikan Mohamed Azmin menang. Kami di Kedah memberi sokongan padu kepadanya," katanya ketika berucap, di sini malam ini.

Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan dan Pembangunan Insan negeri berkata, ahli parti perlu memilih Mohamed Azmin kerana Ahli Parlimen Gombak itu telah membuktikan rekod perkhidmatan selama ini.

"Kita mahu beliau bergandingan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin parti kerana kita (PKR) merupakan komponen terbesar dalam Pakatan Harapan," katanya. - UTUSAN ONLINE