Ketua Armada negeri, Shazwan Fahmi Badrul Sham berkata, pada masa ini, pihaknya masih menunggu arahan daripada pimpinan pusat berkaitan isu berkenaan dan jika perkara itu tidak dapat diselesaikan, laporan mengenainya akan dibuat dalam tempoh terdekat.

“Perkara ini perlu diambil serius oleh kepimpinan atasan. Siasatan perlu dilakukan dengan telus dan penuh berintegriti daripada pusat. Laporan polis yang dibuat mengenai sesetengah pimpinan Bersatu Perlis perlu dibawa ke muka pengadilan. Siasatan daripada pihak polis juga perlu dijalankan,” katanya, di sini hari ini.

Wan Saiful yang digugurkan daripada jawatan Setiausaha Bersatu negeri, hari ini mendedahkan mengenai skandal melibatkan ratusan ribu membabitkan parti itu di Perlis.

Dedah Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu, dia juga ditawarkan wang untuk mengaturkan pemberian kontrak kerajaan bernilai puluhan juta ringgit kepada syarikat yang melibatkan anak pemimpin Bersatu dari Perlis.

Isu tersebut berbangkit apabila Bersatu Perlis memutuskan untuk menggugurkan Wan Saiful daripada jawatan setiausaha parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Pengerusinya, Ameir Hassan berkata, notis mengenainya telah diserahkan kepada Wan Saiful iaitu sejurus selepas barisan kepemimpinan mengadakan mesyuarat khas pada Sabtu lalu.

Mengulas lanjut, Shazwan Fahmi berkata, Armada Perlis melihat tindakan menggugurkan Wan Saiful itu sebagai tidak professional.

“Kepimpinan Bersatu Perlis perlu melalui proses yang betul dan tidak sewenang-wenangnya menggugurkan mana-mana kepimpinan tanpa mendapatkan penjelasan daripada orang yang hendak diambil tindakan itu.

“Ini bukan kali pertama perkara pecat-memecat ini berlaku. Di Arau sudah ramai yang dipecat dan cuba dipecat, termasuk saya sebelum ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE