Menurut Presiden PKR itu lagi, pembangunan yang bakal berlaku dilihat harus dipesatkan dan tidak hanya tertumpu kepada daerah Port Dickson sebaliknya turut meliputi kawasan sekitar.

“Alhamdulillah sejak saya jadi Ahli Parlimen Port Dickson kita telah dapat beberapa projek baharu, pelancongan, taman tema dan industri yang kini dalam proses kelulusan dan sebagainya.

“Syarat kita (tetapkan) adalah perumahan rakyat dan latihan pekerja dan saya ingat pembangunan ini harus dipesatkan dan diperluaskan. Maka saya lihat diperkembangkan dan tidak tertumpu kepada daerah Port Dickson tetapi meliputi kawasan sekitarnya termasuk Rantau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Bertemu Masyarakat India Kuala Sawah di Taman Sri Ramai, Rantau, di sini malam ini.

Sementara itu, Anwar mengakui calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan lebih dikenali berbanding calon Pakatan Harapan (PH), Dr. S. Streram.

 

“Tapi kalau kita tengok Streram, dia sudah kerja di sini banyak tahun, sebelum Pilihan Raya Umum, selepas itu memang berada bekerja di bawah.

“Saya memang minta laporan daripada dia jadi memang tak sampai semua orang (kenal) berbanding 15 tahun, Mohamad Hasan, tapi tengok juga prestasinya, pembangunannya,” katanya. - UTUSAN ONLINE