Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin berkata, itulah realitinya apa yang dilakukan oleh pembangkang terutama di Sabah yang sanggup berjanji apa sahaja asalkan mendapat sokongan rakyat walaupun menyedari janji itu tidak akan terlaksana.

Sehubungan itu katanya, rakyat tidak boleh terpengaruh dengan janji-janji palsu itu sehingga sanggup mengubah kerajaan kerana akhirnya mereka yang akan berasa kecewa kerana tidak mendapat apa yang dihajati.

“Kalau cakap soal pembangunan, tiada siapa boleh nafikan apa yang dilaksanakan Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman di Sabah selama ini, tiada siapa boleh nafikan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak adalah Perdana Menteri yang paling banyak memberi sumbangan kepada Sabah dan berjumpa rakyat di sini.

“Tapi parti pembangkang datang menjanjikan segala-galanya kepada rakyat, mereka ini saudagar mimpi yang hanya menjual janji palsu sehingga akhirnya rakyat hanya bermimpi,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Jentera Jalinan Rakyat Plus (JR Plus) Pemuda BN Sabah di sini hari ini.

Majlis tersebut dilancarkan Musa yang juga Pengerusi BN Sabah.

Yang turut hadir, Pengerusi Pemuda BN Sabah merangkap Ketua Pemuda UMNO negeri, Yamani Hafez Musa.

Jentera JR Plus yang dianggotai hampir 7,000 Pemuda BN dari seluruh negeri berperanan memastikan setiap pengundi mendapat sentuhan daripada BN agar mereka memberi sokongan kepada calon parti itu.

Setiap anggota JR Plus akan turut diberikan insurans perlindungan sebagai jaminan keselamatan mereka ketika bertugas.

Khairy berkata, sasaran utama jentera parti itu antara lain adalah golongan yang baru pertama kali membuang undi iaitu kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan pengundi berdaftar.

“Tetapi saya menasihatkan kepada setiap Pemuda BN agar tidak tidak terlalu yakin dengan kemenangan sehingga boleh menyebabkan kita alpa dalam memberikan khidmat kepada rakyat,” tambahnya. - UTUSAN ONLINE