Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod
Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod

Penasihat Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, tindakan ROS itu tidak menyalahi undang-undang kerana badan awam di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu menggunakan kuasa yang diberikan oleh Parlimen.

“Mana-mana parti dalam Pakatan Harapan yang diketuai DAP yang tidak berpuas hati dengan keputusan ROS itu boleh bawa isu ini ke mahkamah.

“Bagaimanapun pembangkang tidak mempunyai ‘locus standi’ untuk mempersoalkan Perlembagaan UMNO kerana hanya ahli parti tersebut yang boleh mempertikaikan peruntukan itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, penasihat undang-undang UMNO, Datuk Hafarizam Harun memberitahu, ROS menggunakan ‘kuasa rizab’ yang dimiliki sebagai badan penyelia yang bertanggungjawab mengendalikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik yang berdaftar di negara ini dalam meluluskan penangguhan pemilihan UMNO sehingga April 2019.

Isu ini timbul selepas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mempersoalkan kenapa ROS membenarkan penangguhan pemilihan UMNO sehingga April 2019.

Dr. Kamarul Zaman Yusof
Dr. Kamarul Zaman Yusof

Sementara itu, Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusof percaya, ROS meluluskan lanjutan tempoh sehingga 12 bulan itu kerana UMNO berjaya membuktikan sebab yang munasabah secara bertulis atau lisan.

Atas sebab itu katanya, kepemimpinan pembangkang terutamanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) boleh meminta mahkamah membuat keputusan kenapa ROS tidak memberi lanjutan yang sama kepada parti mereka.

“Dalam hal ini, PPBM tidak perlu takut kerana negara kita ada undang-undang malah kes-kes pakatan pembangkang di Mahkamah Persekutuan juga banyak yang mereka menang ketika ini,” katanya.

Kamarul Azman Habibur Rahman
Kamarul Azman Habibur Rahman

Dalam pada itu, Bekas Setiausaha Kerja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Kamarul Azman Habibur Rahman berkata, pemimpin parti yang dikenali dengan logo bunga raya itu sengaja ingin bermain kotor dengan mengalihkan kemarahan ahli-ahli kepada ROS.

Kata beliau, UMNO telah mengikut prosedur yang sepatutnya dalam memohon penangguhan tersebut malah ahli-ahli parti tersebut mengetahui mengenai perkara itu melalui mesyuarat dan perhimpunan setiap tahun.

“Meskipun PPBM mempunyai pemimpin-pemimpin berpengalaman tapi cara mereka bermain politik sangat tak matang. Mereka cuba mewujudkan persepsi menyalahkan ROS supaya masyarakat menyalahkan kerajaan dan berpandangan buruk terhadap UMNO,” katanya. - UTUSAN ONLINE