Begitulah berlaku terhadap Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man yang dituduh mengeluarkan perkataan sekesat itu kepada para pesara tentera yang menyokong parti pembangkang.

Beliau dituduh berbuat demikian oleh sebuah persatuan berlatarbelakangkan tentera semasa menghadiri satu majlis, juga dianjurkan oleh pesara tentera di Kangar, baru-baru ini.

Nampaknya Pakatan Harapan yang diketuai DAP semakin terdesak apabila sanggup 'menipu', malah tergamak menggunakan pesara-pesara tentera untuk melakukan pembunuhan karektor pemimpin BN.

Apabila diselidiki, pemimpin persatuan tersebut yang menuduh Azlan langsung tidak hadir pada majlis berkenaan. Pemimpin utama dalam persatuan pula merupakan bekas calon daripada parti pembangkang.

Rakaman video ucapan Azlan semasa majlis itu masih ada dan menjadi bahan bukti.

Mungkin pencapaian cemerlang pentadbiran BN dalam mengurus dan mentadbir negara menerusi petunjuk-petunjuk ekonomi yang positif, membuatkan pembangkang terdesak sehingga sanggup melakukan pembohongan terhadap pemimpin BN pula.

Inilah bahayanya berita palsu dan sememangnya tepat apabila kerajaan bercadang untuk mewujudkan akta bagi menangani ancaman berita palsu. - UTUSAN ONLINE