Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, mereka juga kecewa kerana rakyat tidak termakan dengan strategi memperlekehkan segala usaha kerajaan membela nasib mereka.

"Rakyat umum masih meletakkan kepercayaan dan harapan yang tinggi kepada kerajaan untuk meneruskan agenda pembangunan," ujarnya.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata demikian semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Puteri Bahagian Besut di Jerteh dekat sini semalam.

Yang turut hadir ialah Ketua UMNO bahagian, Nawi Mohammad; ADUN Jerteh, Datuk Muhammad Pehimi Yusof dan ADUN Kuala Besut,Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

Beliau berkata, pembangkang hanya melihat kepada sedikit kesilapan dan mengeksploitasinya agar timbul kekeliruan dengan harapan menggugat kepercayaan kepada kerajaan.

Idris berkata, kecenderungan pembangkang yang melemparkan tuduhan palsu dari pelbagai sudut kepada kepimpinan negara hanya bertujuan menggambarkan kesan buruk dan boleh mensabotaj ekonomi negara selain menyemai kebencian kepada kerajaan.

"Perpaduan ahli UMNO masih kukuh dan tidak berganjak daripada menyokong Perdana Menteri sehingga menjadikan pembangkang yang diterajui Tun Dr. Mahathir Mohammad semakin hilang punca.

"Begitu juga kemampuan kepimpinan Perdana Menteri dengan pertumbuhan ekonomi negara pada tahap lima peratus pada suku tahun pertama tahun ini membuktikan tindakan kerajaan berada di landasan yang betul," tambah Idris.

Oleh itu jelasnya, ahli Pergerakan Puteri UMNO tidak perlu mudah termakan hasutan pembangkang yang terdiri daripada bekas pemimpin UMNO itu sebaliknya terus bergerak bersama kepimpinan menahan serangan pembangkang itu. - UTUSAN ONLINE