Anak bekas Ketua Polis Negara, Kapten Abdul Rahmat Omar Tun Mohammed Hanif berkata, ini kerana janji-janji manifesto Pakatan Harapan yang diketuai DAP itu terkait dengan ciri-ciri orang yang munafik termasuk berbohong, gagal menepati janji dan mengkhianati amanah.

Kata bekas pegawai penyiasat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu, penipuan pertama yang dilakukan pakatan tersebut adalah memberi harapan palsu kepada golongan belia menerusi penangguhan pembayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Enam tahun lalu, semasa kita semua sibuk membuat persiapan untuk menghadapi PRU-13, Pakatan Harapan yang diketuai DAP berjanji untuk menghapuskan PTPTN, dan kali ini mengubah janji tersebut dari pemansuhan kepada penangguhan pembayaran pinjaman itu.

“Jadi adik-adik, sekali lagi anda tertipu kerana setiap janji yang dibuat oleh pembangkang tidak akan ditunaikan malah mereka lebih gemar membuat pusingan U,” katanya menerusi catatan di blog beliau, seademon.me, baru-baru ini.

Khamis lalu, Pakatan Harapan yang diketuai DAP mengumumkan manifesto PRU-14 dianggap hanya sekadar janji ‘kitar semula’ apabila gabungan parti pembangkang itu menampilkan semula tawaran yang dibuat pada pilihan raya umum lalu.

Dalam perkembangan yang sama, Abdul Rahmat Omar berkata, penipuan kedua pakatan yang diwakili empat parti iaitu DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PKR dan PAN adalah jumlah cuti bersalin bagi penjawat awam.

Kata beliau, pada Oktober tahun lalu menerusi Bajet Alternatif 2018, Pakatan Harapan yang diketuai DAP menggariskan cuti bersalin daripada 90 hari kepada 120 hari dengan bayaran gaji penuh.

Bagaimanapun jelasnya, pakatan pembangkang itu sekali lagi membuat pusingan U dalam manifesto PRU-14 apabila mengurangkan jumlah cuti tersebut kepada 90 hari.

“Ia telah pun dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Siapa kini yang tidak memartabatkan kaum wanita?” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Halim Mohd. Noor berkata, janji-jani yang dibuat pembangkang itu sedikit pun tidak akan meringankan beban golongan muda.

Beliau turut mempersoalkan penangguhan pinjaman tersebut sekiranya pelajar terpaksa mengambil masa bertahun-tahun untuk mencapai gaji RM4,000 sebulan.

“Kalau gaji RM3,900 atau RM3,500 takkan tak bayar juga, macam ini boleh jadi sampai 10 tahun tak bayar-bayar, akhirnya masalah hutang tidak selesai juga.

“Apa yang lebih baik adalah kerjasama antara PTPTN dengan pihak peminjam, peratusan banyak mana yang mahu dibayar dan paling penting ada usaha membayar daripada peminjam, baharulah tidak membebankan dan ini sudah dilaksanakan ketika ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE