Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, ini disebabkan banyak nama yang diumumkan di peringkat tertinggi dalam struktur baharu pakatan pembangkang.

Beliau berkata, ia bermakna pembangkang gagal untuk memutuskan siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum (PRU-14).

"Barisan kepemimpinan yang diumumkan hanya 'window dressing'. Namun, rakyat tidak mudah tertipu dan jelik dengan politik murahan yang dimainkan. Kita juga tertanya-tanya di mana pemimpin DAP.

"DAP memiliki majoriti wakil dalam blok pembangkang dan amat pelik jika Pakatan Harapan tidak diketuai oleh parti yang dominan itu.

"Saya berpandangan ini adalah strategi Lim Kit Siang bagi memperguna pemimpin Melayu untuk menambat hati pengundi Melayu. Kita tidak boleh menafikan Kit Siang adalah pemimpin 'de facto' pembangkang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Ipoh Barat di Bangunan UMNO Perak di sini malam ini. - UTUSAN ONLINE