Setelah 13 tahun Iraq diserang, barulah inkuiri awam Britain mendapati Perdana Menterinya waktu itu melanggar undang-undang antarabangsa kerana menye­rang negara Teluk tersebut.

Satu suruhanjaya bebas di The Hague, Belanda pada 2010 pun semasa itu gagal mengesan senjata pemusnah di Iraq - punca negara itu di­serang Barat dengan Presidennya, Saddam Hussein kononnya menjadi ancaman dunia.

Malangnya, nasi sudah jadi bubur. Sepanjang perang dan penaklukan enam tahun akibat putar belit Barat itu, 150,000 rakyat Iraq terkorban dan negara itu bergolak, dibom sana sini sehinggalah sekarang.

Begitu juga selepas enam tahun pemimpin Libya, Muammar Gaddafi digulingkan dan dibunuh oleh rakyatnya sendiri, tiada siapa dapat menyangkal kenyataan negara itu mengalami huru-hara yang lebih teruk berbanding sebelumnya.

Atas nama demokrasi yang dilaungkan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya, fikiran rakyat Libya telah diracuni untuk bangkit menentang Gaddafi sehingga mengundang pemberontakan di seluruh negara.

Menerusi pendedahan akhbar Zimbabwe, Sunday Mail, ramai rakyat Libya mula menyuarakan rasa kesal kerana terlibat dalam penggulingan Gaddafi pada 2011.

Wahai pembangkang di negara ini, jauhilah permainan putar belit anda.

Berikut antara putar belit berbahaya seandainya sebi­langan rakyat negara ini terpeda­ya:
1. Pelaburan Arab Saudi
- Saudi Aramco dilaporkan pada mulanya keberatan untuk me­labur di Malaysia setelah diberi maklumat kononnya Malaysia diletakkan dalam kategori berisiko politik. Mereka diberikan maklumat kononnya Malaysia tidak stabil, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hampir bankrap dan kerajaan tidak berkemampuan untuk membayar gaji penjawat awam.

Kepercayaan Saudi Aramco terhadap Malaysia bagaimanapun dikembalikan hanya apabila diberikan maklumat sahih Malaysia adalah negara yang berjaya dan mendapat penarafan A. Akhirnya Malaysia me­raih pelaburan RM31 bi­lion hasil lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.


2. Siasat, tarbiah juga Siti Kasim?
- Kalau seorang bomoh sedang diburu oleh jabatan agama Islam kerana tindak tanduknya yang mencemarkan imej Islam, apa bezanya dengan seorang lagi individu ini, Siti Kasim.
 Terbaharu, Siti Kasim mendedahkan di dalam suatu rancangan temu bual dalam talian dengan media berbahasa Cina bahawa beliau pernah terfikir tentang asal usul kewujudan Tuhan. Sekiranya Tuhan itu yang menciptakan segala-galanya di alam semesta ini, dakwanya, tentulah Tuhan itu pun diciptakan oleh sesuatu. Kurang ajar bukan?


3. Wanita lancar kapal pun isu?
- Pelbagai fitnah dilemparkan kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ketika upa­cara pelancaran kapal baru APMM di Port Klang pada 15 Mac lalu.
 Faktanya - dalam dunia perkapalan tidak kira di mana-mana negara sekali pun upacara pelancaran sesebuah kapal baharu atau gimik melepaskan kapal ke laut, atau benar-benar lepas ke laut, program itu akan dilakukan oleh wanita. 
 Dalam dunia perkapalan juga, kapal diistilah atau diibaratkan sebagai wanita. Sebab itu kapal dirujuk dgn panggilan SHE/HER/MOTHER VESSEL/SISTER VESSEL. Isteri bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pun pernah melancarkan atau buat gimik pelancaran kapal baharu.
4. Nik Abduh kalah pun ‘bising’?
- Apabila Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz tewas dalam pemilihan jawatan Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Pengkalan Chepa pada Sabtu, pengikut pakatan pembangkang mula mengkritiknya.
 Semua maklum Nik Mohamad Abduh sebelum ini hadir dalam Himpunan RUU Akta 355 untuk memperkasakan Mahkamah Syariah yang turut disertai UMNO tempoh hari. Pas pun dilanyak teruk kerana enggan kembali ke pakatan harapan diketuai DAP.
 Kekalahan Nik Mohamad Abduh adalah asam garam dalam politik. Bukankah pada 19 Disember 2005, Lim Guan Eng yang baru dipilih Setiausaha Agung DAP dan isterinya, Betty Chew, Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Laksamana yang juga Ketua Wanita DAP Melaka menerima tamparan apabila mereka tidak disangka-sangka telah tewas dalam pemilih­an jawatankuasa DAP Melaka.