Terdahulu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri, Datuk Johari Abdul berpendapat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhak untuk mengusulkan keperluan jawatan Timbalan Menteri Besar Kedah.

Beliau dilaporkan berkata, biarpun Undang-Undang Tubuh Kedah tidak memperuntukkan jawatan itu ketika ini, namun sidang DUN boleh menjadi platform untuk membuat sebarang pindaan mengikut keperluan semasa.

Kenyataan Johari itu, disambut Ketua Pembangkang DUN Kedah, Muhammad Sanusi Mohd. Nor yang memberi jaminan mereka akan menyokong penuh jika usul tersebut dibentangkan dalam tempoh terdekat.

Katanya, sememangnya menjadi keperluan jawatan itu diwujudkan memandangkan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir jarang berada di negeri ini sekali gus menyebabkan banyak urusan penting membabitkan kerajaan negeri tergendala.

Sebagai contoh katanya, pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) selepas 10 bulan memerintah baharu selesai.

"Kita sudah lama setuju jika jawatan Timbalan Menteri Besar ini diwujudkan kerana apabila Menteri Besar tiada, timbalannya boleh membantu menguruskan negeri termasuk mempengerusikan mesyuarat Exco.

"Saya juga melihat, wakil daripada PKR layak untuk mengisi jawatan Timbalan Menteri Besar atau Menteri Besar jika Mukhriz terlalu sibuk dengan urusan di luar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Isu tersebut berbangkit apabila Muhammad Sanusi yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri sebelum ini mencadangkan agar jawatan Timbalan Menteri Besar diwujudkan bagi membolehkan negeri ini diurus dengan baik sepanjang ketiadaan Menteri Besar.

Katanya, apabila jawatan tersebut diwujudkan, jika Menteri Besar berlama-lama di Kuala Lumpur, di London atau Kanada bersama keluarga, Timbalan Menteri Besar boleh menjalankan tugas menguruskan kerajaan negeri.

Malah sebelum itu, Muhammad Sanusi juga memberi gambaran bakal berlaku undi tidak percaya membabitkan PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP terhadap Mukhriz.- UTUSAN ONLINE