Dalam blognya najibrazak.com, terpapar kisah-kisah kejayaan negara terutama dalam setahun dua ini.

Dengan pendapatan negara kasar meningkat hampir 50 peratus, 2.26 juta pekerjaan diwujudkan serta eksport mencecah hampir RM90 bilion pada Mac tahun ini, tak dengkikah pembangkang?

Kalau cemburu yang positif tak apalah. Ini sampai ke tahap busuk hati, maka tak mustahil DAP, PKR, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sedang mengatur strategi mahu merosakkan hari gembira pembentangan Bajet 2018 yang ditunggu-tunggu rakyat Jumaat ini.

Masih ingatkah bagaimana pembentangan Bajet 2017 tahun lalu dicemari tindak tanduk biadab sebahagian besar ahli Parlimen pembangkang yang keluar Dewan Rakyat kira-kira 40 minit sebelum Perdana Menteri selesai membentangkannya.

Mereka keluar dari dewan sambil membawa plakad ‘#Siapa MO1?’, sebelum menemui media di lobi Parlimen.

Pembentangan bajet yang bermula jam 4 petang itu terhenti seketika apabila pembangkang tak puas hati dengan kenyataan Perdana Menteri bahawa pembangkang bermain sandiwara kononnya Malaysia mengharungi ribut ekonomi yang sukar.

Ahli pembangkang yang tak puas hati terus berdiri dan mengangkat plakad ‘#Siapa MO1?’ selain cuba mengganggu pembentangan bajet sehingga memaksa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia campur tangan.

Berulangkah lagi insiden seperti ini Jumaat nanti?

Pakatan Harapan dikepalai DAP sudah ketandusan modal mahu memperlecehkan kerajaan pimpinan Najib yang begitu tinggi komitmennya untuk memakmurkan ekonomi negara.

Dengan lebih 30 memorandum persefahaman (MoU) serta perjanjian yang mencatat nilai pelaburan lebih RM30 bilion dengan China dan India selain AS$7 bilion lagi dengan Saudi Aramco, jangan terkejut pula andai kata pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad tiba-tiba muncul di pekarangan Dewan Rakyat Jumaat ini.