Menurut beliau, kaedah memutar belit fakta yang diulang, dikitar semula serta diulang tayang oleh pembangkang menggunakan teo­ri ‘Menteri Propaganda’ ketika pemerintahan Nazi di Jerman pada Perang Dunia Kedua boleh meresap dalam fikiran rakyat.

Menurutnya, mengikut teori Menteri Propaganda Hitler bernama Joseph Goebbels, jika sesuatu fitnah tohmah ataupun sesuatu yang bidaah atau perkara buruk diulang-ulang maka akhirnya termasuk dalam minda khalayak.

“Jadi inilah yang sedang mereka lakukan kepada kerajaan de­ngan mengulang isu-isu dan juga melontarkan tohmahan yang berbagai-bagai kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pecah tanah pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bagan Datuk, di sini hari ini.

Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, Barisan Nasional (BN) akan memastikan setiap aku janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dihamparkan kepada rakyat sesuatu yang mampu direalisasi dan ditepati.

Beliau berkata, kerajaan telah meneliti dan mengambil kira semua aspek termasuk kejayaan dalam pelaksanaan aku janji terdahulu bagi membuat manifesto BN untuk PRU-14 yang dilancarkan baru-baru ini.

Katanya, Jawatankuasa Kabinet Meneliti Aku Janji PRU-13 yang dipengerusikan oleh beliau juga mendapati pencapaian kerajaan menepati janji adalah sebanyak 99.4 peratus yang menyerlahkan komitmen kerajaan dalam merealisasikan apa yang telah dijanjikan.

“Manifesto bukan satu janji untuk melakukan perubahan dalam masa 100 hari seperti dilakukan pembangkang termasuk menghapuskan pembayaran cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dan pembayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Ini sesuatu yang tidak rea­listik, janji yang tidak berpijak di bumi nyata serta tidak munasabah.

“Pembangkang lupa, apabila semua pembayaran ini dihapuskan ertinya tidak ada pendapatan untuk negara dan jika dilihat dari segi pengimbangan perbelanjaan, maka ia adalah perbelanjaan tidak seimbang,” katanya.